Kenaikan jualan bulan Disember menjadikan jumlah melebihi 100,000 unit buat pertama kali sejak 2015
PROTON menutup tirai 2019 dengan cemerlang apabila mencatatkan jualan tertinggi pada Disember iaitu sebanyak 11,117 unit bagi keseluruhan 2019, meningkat sebanyak 112% berbanding bulan sama pada 2018.

Jumlah ini bersamaan 20.5% dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) pada bulan Disember dan ini juga merupakan kali pertama syarikat menjual lebih daripada 11,000 kereta dalam tempoh sebulan sejak Julai 2014.
Oleh kerana prestasi jualan bulanan yang kukuh, jumlah jualan bagi keseluruhan tahun 2019 berakhir sebanyak 100,821 unit (eksport + domestik), di mana buat pertama kali jualan berjaya mencecah jumlah 100,000 unit sejak 2015.
Jumlah ini adalah bersamaan dengan peningkatan sebanyak 55.7% berbanding tahun 2018, meletakkan Proton sebagai lima teratas bagi pertumbuhan jualan tertinggi pada tahun 2019 dalam kalangan jenama automotif di Malaysia.
Pegangan pasaran pula dianggarkan berada pada 16.7%, angka tertinggi sejak 2014.
Model-model Proton menutup 2019 sebagai pilihan paling popular dalam segmen masing-masing dan faktor kepada pertumbuhan jualan Proton adalah Proton X70, serta empat model naik taraf yang dilancarkan pada 2019 dengan kenaikan peratusan jualan sebanyak dua angka.

Proton X70 mendapat jumlah jualan yang memberangsang pada sepanjang tahun pertama ia diperkenalkan dan mencatat rekod sebagai SUV premium terlaris di Malaysia. Model tersebut turut mengekalkan kedudukan sebagai yang teratas dalam segmennya sepanjang tahun dan mengakhiri 2019 dengan jumlah jualan sebanyak 26,331 unit.
Selain itu, jualan Proton Saga juga terus meningkat sejak pelancarannya pada 6 Ogos lalu. Model terkini dalam rangkaian Proton itu sekali lagi menjadi sedan segmen A paling popular dengan jualan sebanyak 3,892 unit pada bulan Disember.
Keseluruhan jualan untuk 2019 adalah sebanyak 38,144 unit, bersamaan peningkatan sebanyak 36%.
Tidak dilupakan, Proton Persona, sedan keluarga segmen B yang lengkap dengan ciri-ciri pintar, mengakhiri bulan Disember dengan jualan sebanyak 3,384 unit. Angka tersebut meletakkan Persona di kedudukan teratas dalam segmennya bagi bulan Disember dan juga merupakan jumlah tertinggi bagi model itu sejak Mac 2012.
Meskipun terdapat beberapa bulan yang mana jualan tidak begitu memberangsangkan iaitu ketika tempoh Proton mula memperkenalkan Persona 2019 berbanding model sebelum itu, jumlah keseluruhan masih meningkat 29% iaitu sebanyak 21,876 unit pada tahun lepas.





































