CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) melancarkan Klinik Bolasepak Kanak-kanak CelcomDigi (CelcomDigi Kids Football Clinic) – satu inisiatif untuk memupuk kemahiran bolasepak dalam kalangan kanak-kanak.
Inisiatif ini dilaksanakan menerusi platform Arena CelcomDigi sebagai usaha memperkukuh komitmen dalam mempromosi gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia. Klinik bolasepak ini merupakan antara misi utama Arena CelcomDigi untuk membina ekosistem sukan yang berdaya mampan serta memperluas akses kepada sukan bagi golongan muda.
Ia juga menawarkan ruang yang inklusif dan selamat kepada kanak-kanak untuk belajar, bermain dan membesar melalui program latihan yang berstruktur.
Pelancaran ini telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bersama Datuk Kamal Khalid, Ketua Pegawai Transformasi CelcomDigi, Cheng Weng Hong, Ketua Pegawai Jualan dan Peruncitan CelcomDigi serta Naquib bin Hamdan, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bertempat di Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur.
Dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), DBKL dan YFA Red Star Academy selaku rakan program, Klinik Bolasepak Kanak-kanak CelcomDigi direka khas untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.
Program ini menawarkan pembelajaran sukan yang berstruktur dalam persekitaran yang inklusif dan selamat. Selain memberi tumpuan kepada kemahiran bolasepak, program ini turut menekankan pembangunan sahsiah, disiplin, dan semangat berpasukan di bawah bimbingan jurulatih bolasepak bertauliah menerusi modul latihan yang progresif.
“Pelancaran ini merupakan contoh bagaimana kerjasama awam-swasta mampu mencipta impak yang bermakna di peringkat akar umbi.Kolaborasi antara KBS, DBKL dan CelcomDigi mencerminkan bagaimana entiti yang berbeza boleh bergabung tenaga untuk memperkasa remaja serta memacu pembangunan komuniti.
Program seperti Klinik Bolasepak Kanak-kanak CelcomDigi ini diperlukan bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda, di samping memupuk bakat sukan yang merupakan asset masa depan negara.





































