Jenama global terkemuka HONOR dijangka memperkenalkan peranti terbaharunya, Magic7 Pro tidak lama lagi yang penuh dengan ciri kecerdasan buatan (AI). Meskipun belum dilancarkan lagi, HONOR telah memberi peluang kepada media yang dijemput khas untuk melihat lebih dekat dan berkongsi ciri-ciri baharunya.
Kejayaan HONOR memperkenalkan Magic6 Pro pada tahun lalu menyaksikan peranti itu menerima sambutan hangat daripada peminat dan HONOR tidak teragak-agak mempertaruhkan peranti terbaharu ini dengan membawa beberapa peningkatan dalam fotografi, paparan, prestasi dan pengalaman pengguna dikuasakan AI.
Sebagai sistem pengoperasian AI yang diperibadikan untuk semua keadaan yang pertama dalam industri, MagicOS 9.0 memperkenalkan ciri-ciri AI baharu kepada barisan telefon flagship ini.
Dengan kemunculan pertama HONOR Magic7 Pro, telefon pintar flagship baharu yang dikuasakan AI ini menampilkan MagicOS 9.0 dan keupayaan AI yang menarik seperti Magic Avatar, AI Notes Summarization, AI Translation, dan Magic Portal 2.0 yang dipertingkatkan.
Ciri penambahbaikan hebat ini direka bagi memperkasakan pengguna bagi menjadikan setiap interaksi dengan peranti mereka menjadi lebih pintar, lebih kreatif, dan lebih menarik.
REKAAN LUARAN
Melihat keadaan rekabentuk peranti ini kelihatan lebih baik daripada model sebelumnya kerana rekaan badannya kukuh diperbuat daripada HONOR NanoCrystal Shield malah mudah digengam di tangan atau disimpan dalam kocek seluar.
Panel belakang peranti ini walaupun sedikit licin tetapi permukaan kusam memberikan kelebihan kepada pemakainya dan perlindungan tambahan berupa kerangka silikon lutsinar turut dibekalkan HONOR dalam kotak peranti ini secara percuma.
Peranti ini dipadankan dengan paparan bersaiz 6.8 inci dengan panel OLED digunakan beresolusi FHD+ (1280 x 2800). Kadar segar semula yang dimilikinya adalah hingga 120Hz bergantung kepada kandungan yang ingin dipaparkan. Kecerahan puncak panel ini adalah 1,600nits dan untuk kandungan HDR, ia boleh pergi sehingga 5,000nits.
Rekaan bonggol kamera yang bulat masih dikekalkan dalam kedudukan yang sama dengan model sebelum ini. Ia juga masih besar dan tebal dengan perubahan ketara pada susunan sensor kamera di dalam grid bersama flash yang dilindungi lapisan kaca sepenuhnya.
Kombinasi kamera Matrik peranti ini adalah 50MP (kamera utama), 50MP (ultra lebar), dan 200MP (telefoto) periskop yang ada tiga kali zum optikal dan 100 kali zum digital. Bahagian depan, pengguna diberikan kamera selfie 50MP disamping sensor kedalaman 3D depth sensor untuk pengenalan biometrik.
Secara keseluruhan peranti ini nampak lebih kemas dan tegap berbanding beberapa model sedia ada. Butang kuasa dan laras audio berada di bahagian sisi kanan. Sokongan pemancar infra merah juga masih disediakan pada bahagian sisi atas bersama satu kekisi untuk pembesar suara stereo.
Bahagian sisi kiri tidak menempatkan sebarang port dan butang. Sementara itu port USB-C, kekisi pembesar suara dan talam dwi-SIM bersaiz nano turut boleh ditemui di bahagian sisi bawah peranti.
Peranti ini memiliki ketahanan kalis air IP68/69 yang mampu melindungi peranti dari kerosakan air bertekanan tinggi dan habuk.
PELBAGAI CIRI AI TERSEDIA
Selain itu ciri AI yang dipertingkatkan turut menjadi nadi utama peranti ini dalam meningkatkan kecekapan, produktiviti dan inovasi. Paling mengujakan adalah ciri AI Deepfake Detection Technology yang pertama kali dipadankan pada peranti mudah alih ini bagi membantu mencegah penipuan dan mengesan kandungan yang di manipulasi secara digital.
Secara teorinya ia menggunakan AI untuk mengesan risiko manipulasi digital lalu memberikan pelindungan kepada pengguna daripada ancaman penipuan pemalsuan wajah yang semakin berleluasa.
Mangsa yang terperdaya akan menyerahkan wang atau maklumat peribadi. Bagi memerangi kandungan penipuan, HONOR Magic7 Pro dilengkapi teknologi AI Deepfake Detection bagi mengesan penipuan dan kandungan digital yang dimanipulasi.
Sebagai telefon pintar pertama di dunia yang mempunyai teknologi pada peranti ini, HONOR Magic7 Pro mampu melindungi pengguna daripada ancaman penipuan digital.
Ketika panggilan video dilakukan, AI Deepfake Detection akan mengimbas pandangan mata, cahaya, kejelasan imej dan ulangan video bagi mengenal pasti kecacatan yang mungkin tidak kelihatan pada pandangan mata kasar. Dengan memeriksa sifat-sifat ini, AI Deepfake Detection mampu mengesan kandungan yang dimanipulasi dengan tepat bagi membezakan antara media sebenar dan pengubahsuaian penipuan.
Jika terdapat sebarang anomali dikesan dalam tempoh tiga saat, HONOR Magic7 Pro akan
mengeluarkan amaran pada skrin dengan segera, mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa kepada penipuan, sekaligus mencipta persekitaran yang lebih selamat
untuk berkomunikasi.
Ciri ini boleh digunakan dalam beberapa pilihan aplikasi yang disokong seperti WhatsApp, Facebook Messenger dan Wechat dengan rangkaian internet yang aktif.
Ciri terbaharu iaitu AI Magic Portal 2.0 yang kini menggantikan fungsi Circle to Search dengan keupayaan Circle to Anything yang lebih serba boleh. Ia membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkara serta merta dengan hanya membuat bulatan pada objek atau teks yang berkaitan menggunakan belakang jari telunjuk.
Ciri ini bukan sahaja boleh digunakan untuk membuat carian semata malahan berfungsi bagi tujuan lain seperti navigasi lokasi, perkongsian kandungan, penghantaran e-mel, pembelian barangan dan banyak lagi.
Sebagai tambahannya, imej dipilih turut boleh disunting dan kemudian boleh disimpan di dalam galeri secara langsung. MagicOS 9.0 juga disertakan dengan aplikasi Google Gemini untuk meningkatkan produktiviti dan kreativiti di mana pengguna boleh menulis, menganalisis serta mencipta imej melaluinya.
Terdapat juga ciri Magic Avatar yang menggunakan AI untuk mencipta avatar yang realistik dan unik berdasarkan karakter pilihan pengguna. Ia juga membenarkan pengguna memilih lebih pelbagai gaya dengan tetapan berbeza untuk rupa paras, pemakaian, ekspresi wajah dan latar belakang. Selain turut boleh digunakan sebagai gambar profil dan latar pada peranti untuk lebih menarik.
Tidak ketinggalan juga, ciri AI Notes yang kini lebih serba boleh melalui keupayaan AI Summary yang boleh meringkaskan sebarang kandungan bertulis yang panjang dengan hanya memaparkan perkara penting yang menarik dalam beberapa saat.
AI Minutes pula boleh menghasilkan nota dan transkripsi secara automatik yang diformatkan daripada audio langsung termasuk minit mesyuarat, temu bual dan lain-lain. Sebarang kandungan turut boleh disusun dengan teratur dan kemas mengikut tajuk serta subtajuk yang bersesuaian menggunakan ciri AI Format.
Dalam pada itu fungsi AI Face to Face Translation juga lebih baik melalui tambahan sehingga 13 bahasa berbeza baharu yang termasuk Bahasa Malaysia, Korea, Japan dan Kantonis (Mandarin). Terdapat juga fungsi Interpreter seakan peranti Samsung yang membolehkan pengguna berbual tanpa halangan lalu menjadikan komunikasi lebih mudah diakses oleh individu daripada latar belakang bahasa yang berbeza secara masa nyata.
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak
- 1x Honor Magic7 Pro.
- 1x Kerangka silikon.
- 1x Pengecas 100W.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
HONOR Magic7 Pro adalah sebuah peranti yang mengalami revolusi pantas khususnya dengan perisian AI yang dipertingkatkan berbanding model terdahulu.
Keupayaan AI khususnya ciri Interpreter yang sangat berguna untuk perbualan berbeza bahasa secara masa nyata membabitkan lebih daripada 13 jenis bahasa antarabangsa sekali gus memudahkan tugasan harian pengguna masa kini.
Sistem bateri 5,850mAh membekalkan tenaga kepada semua komponen elektronik peranti ini dan untuk mengecas, ia menyokong sistem pengecasan 100W melalui port USB-C yang dimilkinya ataupun 80W secara wayarles.
Di Malaysia, kita boleh jangkakan yang varian RAM 12GB berstoran 512GB akan masuki dan satu-satunya varian yang akan dijual. Tiga warna yang ditawarkan iaitu Lunar Shadow Grey, Breeze Blue dan Black.
- Nantikan ulasan penuh HONOR Magic7 Pro