Bermula dengan sering mengikuti siaran langsung TikTok, komposer Zul 2By2, penyanyi kelahiran Singapura yang mahu dikenali sebagai Asya’B memberanikan diri menghantar mesej langsung (DM) kepadanya.
Siapa sangka, bertiitk tolak dari situlah, Aisya’B atau nama penuhnya, Nurasya Abdul Rahim, 34, diberi peluang mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian di negara ini.
Malah, single perdana berjudul Sayang Padamu yang merupakan hasil ciptaan sepenuh oleh dirinya itu turut mendapat sentuhan terbitan daripada Zul dan Bajai.
“Selepas meninggalkan komen dan mesej, dia minta saya untuk ‘naik kotak’ atau berkomunikasi secara ‘live’ di media sosial terbabit.
“Satu hari tu, dia cakap dia nak nyanyi lagu Marah Bukan Sifatku daripada kumpulan New Boyz yang merupakan karya ciptaannya.
“Saya sangkakan penulis lirik lagu tersebut yang menggunakan nama Aiman itu orang lain tapi sebenarnya abang Zul lah orangnya.
“Saya pun tanya dengan dia apa prosedur untuk nak buat lagu. Pada awalnya dia tak bertanya jika saya ada lagu ciptaan sendiri,” katanya.
Menurut Aisya’B, dia sangat mengagumi Zul memandangkan semua karya ciptaan komposer tersebut merupakan lagu kegemarannya.
“Sejujurnya, saya ingat abang Zul ini hanyalah seorang penyanyi yang popular dengan lagu Kau Mawarku saja.
“Tapi bila dia sendiri mengaku yang dia juga antara pencipta lagu dan banyak hasil karyanya popular, saya memang gembira sangat-sangat!
“Selepas beberapa hari, abang Zul bertanya kepada saya kalau ada lagu ciptaan sendiri. Jadi, saya pun bagilah lagu Sayang Padamu yang saya sendiri tulis ketika berusia 16 tahun.
“Saya menyanyikan secara akustik menggunakan gitar. Alhamdulillah abang Zul sukakan lagu tersebut dan dia buatkan sebuah demo yang cukup indah untuk saya,” katanya lagi.
Mengakui cabaran dalam industri muzik ada pasang surutnya, namun Aisya’B yang merupakan seorang guru besar di sebuah tadika di Singapura, dia tetap akan meneruskan minatnya itu.
“Saya sudah bergelar seorang tenaga pendidik sejak sekitar 15 tahun lalu. Walaupun saya meminati muzik tetapi bidang pendidikan juga adalah jiwa saya.
“Dari kecil saya sudah mula tunjukkan minat dalam muzik. Di peringkat sekolah pun saya sering masuk pertandingan dan pernah menangi Gold With Honours di Singapore Youth Orchestra (SYF) pada 2005 sebagai pemain alat muzik trombone.
“Saya juga berkebolehan bermain gitar. Saya akui pasaran muzik di Singapura agak tinggi. Di Malaysia pula saya nampak peluang yang sangat luas sebab pasarannya agak besar,” katanya yang menembusi kategori Nova Media Baru di Anugerah Planet Muzik 2012.
Aisya’B juga lebih awal menyanyikan semula lagu-lagu penyanyi asal dan berkongsi di saluran Youtube sejak 2006.
Malah, dia juga percaya dengan kemajuan teknologi media sosial yang sedikit sebanyak membantu dari segi pemasaran seseorang artis.