Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan bercemar duli merasmikan cawangan Richiamo Coffee ke – 88 di Arau, Perlis.

Mengiringi baginda ke majlis itu ialah puteri sulung, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail di Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini.

Cawangan ke-88 di UniMAP itu dimiliki dan dikendalikan oleh Empire Coffee Works dan merupakan cawangan kedua selepas Wisma Bernama Kuala Lumpur.

Pengarah Empire Coffee Works, Wan Najib Wan Daud berkata, pembukaan cawangan di UniMAP adalah hasil perbincangan dengan pengurusan tertinggi universiti itu berikutan kepercayaan dan komitmen yang diberikan oleh pemegang lesen Richiamo Coffee Sdn Bhd.

“Sebagai sebuah syarikat milik 100 Bumiputera, Richiamo Coffee selalu menekankan agar jenama ini boleh ditembusi oleh semua golongan lapisan masyarakat agar ia boleh berkembang sejajar dengan usaha kebelakangan ini”, katanya.

Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pejabat Naib Canselor UniMAP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Selain di UniMAP, dua lagi cawangan Richiamo Coffee yang telah beroperasi di Perlis ialah di Kangar Jaya dan juga UiTM Arau.

Di majlis tersebut, baginda turut meluangkan masa melihat bagaimana kopi ‘dibancuh’ di kafe berkenaan yang menyajikan pelbagai variasi kopi termasuk Americano, Latte dan Espresso.

Malah baginda juga turut membuat sentuhan peribadi dengan membuat minuman Latte di majlis tersebut.

Richiamo Coffee di UniMAP juga menghidangkan menu makanan barat dan tempatan seperti Patin Masak Tempoyak serta Asam Pedas Tenggiri selain kek dan pastri yang menjadi pilihan para pelanggan.