Harum aroma kopi pantas menusuk hidung sebaik kaki melangkah menghampiri ke Antong Coffee Mill yang merupakan kilang kopi tertua di negara kita dan masih mengekalkan cara pembuatan kopi mengikut kaedah tradisional.

Antong Coffee Mill milik syarikat Aun Tong Sdn Bhd ini mula bertapak di sejak tahun 1933 merupakan perniagaan warisan yang kini dikendalikan oleh Datuk Thian Boong Chung.

Kilang kopi ini juga disenarai sebagai lokasi tarikan pelancongan di bandar Taiping, Perak.

Letaknya juga tidak jauh dari Stesen KTMB Taiping, malah jika menggunakan khidmat aplikasi Waze sudah pasti anda tidak akan sesat.

Menghiasi masuk ke laman kilang ini pengunjung pasti tertarik melihat barang-barang antik seperti beca, dapur memasak air lama dan basikal roda tiga.

Selain berpeluang melihat sendiri para pekerja memproses kopi, sudah pasti tarikan utama ke sini ialah suasana persekitaran, bangunan kilang kayu serta perkakasan lama yang masih digunakan.

Melangkah masuk ke ruang dalam kilang yang kecil membangkitkan nostalgia bagaimana ‘orang-orang dahulu’ memproses kopi.

Kerja-kerja memasak kopi juga masih menggunakan kayu api dan bukan dapur gas. Ini juga antara rahsia aroma kopi Antong berbeza berbanding kopi-kopi biasa.

Biji-biji kopi dimasak dalam larutan gula, garam dan majerin sepertimana mengikut kaedah memasak kopi orang tempatan. Proses memasak ini amat penting, jadi hanya petugas yang berpengalaman sahaja melakukan kerja ini terutama untuk mengawal masa dan suhu api.

Melihat para pekerja menggunakan tulang empat kerat juga boleh memberi bayangan bagaimana cara yang sama dilakukan pada masa dahulu.

Sebab itu dicadangkan untuk datang ke sini sebelum jam 12.30 tengah hari bagi mengelak terlepas peluang menyaksikan para pekerja memasak atau memproses biji kopi kerana pada waktu itu adalah masa untuk rehat.

Bagaimanapun, kerja-kerja ini disambung semula selepas jam 2 petang sehinggalah kilang ditutup pada jam 5.30 petang.

Selain diiringi kakitangan kilang memberikan penerangan, pengunjung juga boleh menyaksikan tayangan video berhubung sejarah kilang ini serta bagaimana proses membuat kopi.

Selain biji kopi tempatan, kilang ini juga menggunakan biji-biji kopi yang diimport antaranya dari Indonesia dan Brazil.

Selepas menghabiskan kira-kira 15 minit di sini, pengunjung kemudian dibawa ke bilik pameran bagi mencuba jenis-jenis kopi yang dihasilkan bersama biskut keras atau dipanggil ‘biskut lutut’ selain boleh membeli buah tangan di kaunter jualan.

Antara jenis-jenis kopi yang ada seperti kopi O (hitam), white coffee, mocha dan juga kopi perisa durian.

Sebagai  salah satu lokasi tumpuan pelancong, pihak pengurusan kopi Antong dilihat bijak menjadikan premis itu sebagai tarikan yang mesti dikunjungi misalnya dengan menawarkan pengunjung mencuba kopi-kopi keluarannya.

Ini satu strategi yang baik kerana tidak sekadar berbangga dengan nama dan sejarahnya tetapi mereka menjaga kualiti khidmat yang disediakan agar pengunjung merasa dihargai selain berbaloi melapangkan masa berkunjung ke situ.

Tidak hairanlah jika kita melihat kehadiran pengunjung tidak putus-putus melawat ke sini kerana layanan mesra daripada kakitangan kilang yang tidak lekang melemparkan senyuman.

Seperkara lagi menarik tentang kilang kopi Antong yang kurang diketahui banyak pihak ialah rumah bersejarah yang kini menjadi bangunan pejabatnya.

Rumah ini ada kaitan dengan pejuang revolusionari, Dr. Sun Yat Sen yang juga merupakan Bapa China Moden.

Rumah ini dahulunya dikenali sebagai Changchun Pu Villa dan pernah didiami kekasih Yat Sen, Chen Chuifen selama beberapa tahun setelah dia datang ke Taiping pada tahun 1914 selepas berpisah dengan Yat Sen.

Chen Chuifen dikatakan menyulam hubungan rapat dengan Yat Sen serta turut memainkan peranan penting pada sisi tokoh tersebut semasa perjuangan revolusionarinya membentuk negara China moden.

Pada papan tanda di hadapan rumah ini juga tertulis ia pernah menjadi kediaman persinggahan Yut Sen semasa dia berada di Taiping.

Pengunjung boleh melihat potret Chuifen dan Yat Sen yang digantung bersebelahan.

Difahamkan, vila berkenaan ketika itu milik sebuah keluarga Cina yang merupakan penyokong kepada gerakan revolusionari Tongmenghui yang dipelopori Yut Sen.

Yut Sen juga tidak asing dengan Tanah Melayu kerana pernah dibawa para penyokongnya tinggal di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura antara tahun 1900 hingga 1911 sepanjang menyusun persediaan melancarkan revolusi.

Vila ini dijadikan kilang Aun Tong pada tahun 1940 sebelum dibeli keluarga pembuat kopi ini dua tahun kemudian.

Rencana dan gambar ini sumbangan Zaki Salleh bekas wartawan Kosmo