Sempena Tahun Baru 2019 ini, NGO Antarabangsa melakukan kerja pecah tanah bagi membina telaga atau perigi untuk kegunaan penduduk kampung yang daif dan miskin bagi mendapatkan bekalan air bersih.
PENGERUSI dan Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, penduduk itu yang kebanyakan petani bekerja mengambil upah menoreh getah, menanam gajus dan ubi.

Kampung itu juga terletak jauh di pedalaman dan terpencil malah tiada kemudahan bekalan elektrik dan jalan masuk yang sempurna tetapi keazaman serta tekad yang kuat membuatkan NGO Antarabangsa ke kampung berkenaan bagi membantu 30 keluarga Islam dan 10 keluarga bukan Islam.
“Kehadiran NGO Antarabangsa ini adalah bagi menyampaikan sedikit keperluan ssas seperti beras dan membina telaga kerana kebanyakan penduduk di sini bergantung kepada air sungai serta air hujan bagi keperluan harian termasuk dijadikan minuman seharian tanpa dimasak terlebih dahulu.
“Atas sebab prihatin akan nasib penduduk ini, kami sanggup menderma dua buah perigi dengan kos US$500 sebuah. Telaga ini dibina kerana kawasan ini sukar untuk dimasuki oleh kenderaan disebabkan jalan raya yang sempit dan berlubang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pecah tanah bagi membina dua buah telaga di Kg Onoh, Kemboja. Turut hadir NGO tempatan dan lebih 100 penduduk tempatan.
Mustapha berkata, harga biasa bagi sebuah telaga atau perigi adalah sekitar US$350 atau US$400 bergantung kepada kawasan seperti pembinaan telaga di kawasan pergunungan lebih mahal sehingga US$1,000 sebuah.
Menurutnya, sejak projek telaga dimulakan pada 1999 dan sehingga kini sebanyak 3,500 buah telaga dibina dibeberapa kawasan dan daerah di sekitar Kemboja.

“Ada telaga yang dibina secara terbuka dan telaga yang menggunakan pam namun bagi kebiasaannya di kawasan pedalaman, telaga yang terbuka lebih baik dan tahan lama.
“Kualiti air pun baik dan banyak manakala telaga pakai pam ini sesuai di kawasan yang padat penduduk dimana ruang tanah yang sempit manakala tanah berbatu sukar untuk mengoreknya.
“Apa yang penting telaga ini dapat membekalkan air yang bersih kepada penduduk kerana ketika saya datang ke Kemboja, masalah utama penduduk adalah bagi mendapatkan air bersih,” katanya.

Beliau berkata, ramai kanak-kanak menghidap penyakit kerana meminum air yang tidak bersih manakala air telaga dijual oleh pemilik dengan harga tertentu untuk satu baldi menyebabkan golongan miskin tidak mampu memiliki air bersih untuk diminum melainkan air sungai dan air hujan sahaja.
“Saya berharap gunakanlah telaga ini dengan sebaik mungkin dan jaga keselamatan anak- anak dari terjatuh. Kewujudan perigi ini juga boleh memupuk perpaduan sesama penduduk dan digunakan untuk tujuan bercucuk tanam yang akan memberi hasil tambahan kepada penduduk.
“Hasil jualan ini boleh digunakan untuk membeli generator atau lampu yang menggunakan bateri bagi kampung yang tiada bekalan elektrik,” katanya.

Mustapha juga menyeru sukarelawan agar turun ke kampung membantu mengajar kanak-kanak yang tidak bersekolah pendidikan formal termasuk ilmu agama atau mengaji al-Quran supaya mereka tidak buta huruf jika berhijrah ke bandar satu hari nanti.