Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai untuk segera menghubungi TNB jika premis mereka dinaiki air akibat banjir berikutan permulaan monsun Timur Laut bagi membolehkan TNB menghentikan bekalan demi keselamatan.
JABATAN Meteorologi Malaysia dalam kenyataan pada 26 Oktober 2018 memaklumkan bahawa Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 27 Oktober hingga Mac 2019.
Hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor pada November serta Disember 2018.
“Sila hubungi pejabat TNB yang berdekatan, TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline sebaik paras air meningkat supaya bekalan elektrik boleh diputuskan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” kata Ketua (Perhubungan Awam & Dalaman) TNB, Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin.
Katanya, TNB sentiasa mengawasi keadaan dari semasa ke semasa dan akan menutup bekalan ke pencawang di kawasan banjir sekiranya paras air mencecah tahap bahaya.
“Penutupan bekalan elektrik ke kawasan terlibat dibuat untuk sementara waktu demi memastikan keselamatan orang awam terjamin. Bekalan elektrik akan disambung semula setelah air banjir surut dan keadaan kembali selamat,” katanya lagi.
“Pengguna yang premis mereka dinaiki air juga perlu menghindari penggunaan sebarang peralatan elektrik dan perlu memastikan suis utama ditutup bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku.”
Ir. Mohd Aminuddin turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi tindak-tanduk anak-anak mereka agar tidak menghampiri tiang elektrik yang tumbang atau wayar elektrik yang terputus semasa banjir kerana arus elektrik mungkin masih mengalir.
“Maklumkan kepada TNB supaya tindakan segera boleh dilakukan untuk membaiki kerosakan tersebut,” katanya sambil mengingatkan orang ramai untuk menjauhi kawasan di mana paras air naik dan mencecah talian TNB.
Beliau berkata, setelah banjir surut, suis elektrik dan perkakas elektrik yang terendam dalam air banjir perlu diperiksa dan diuji terlebih dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga sebelum digunakan semula.